Ciri-ciri suami dan isteri yang soleh



 Ciri-ciri suami yang soleh


❀ Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan Rasul-Nya serta berkemampuan untuk membimbing isterinya ke jalan yang diredhai Allah .
❀ Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir ataupun batin .
❀ Suami yang sedia memberikan nasihat , bimbingan , dorongan , didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab rumah tangga dan juga terhadap Allah s.w.t .
❀ Suami yang dapat menyediakan tempat tinggal , pakaian dan makanan yang sempurna mengikut kemampuannya .
❀ Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya .
❀ Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalam hal keselamatan , kebajikan dan kesihatannya .
❀ Suami yang penyabar dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapatkan sesuatu .
❀ Suami yang tidak cemburu buta tanpa asas terhadap isterinya yang mana boleh merosakkan keutuhan rumah tangga mereka .
❀ Sentiasa memberikan kasih sayang , belas kasihan dan pergaulan yang baik terhadap isterinya .
❀ Suami yang ikhlas dan jujur serta dapat menepati janji terhadap isteri dan anak-anak .
❀ Suami yang sentiasa menjaga rahsia isterinya dan tidak didedahkan kepada orang lain .
❀ Suami yang menjauhkan diri dari perbuatan maksiat seperti meminum minuman keras , berjudi , berzina , menipu , mencuri dan sebagainya .
❀ Suami yang dapat memberikan penjagaan dan pemerhatian yang baik terhadap isterinya . Penjagaan ini meliputi semua hal termasuk kehormatannya .
❀ Suami mestilah bijak memahami perasaan dan hati isteri sama ada dengan perbuatan atau perkataan , jangan biarkan dirinya dalam keadaan bersedih .
❀ Suami yang sentiasa mengutamakan kebersihan diri , zahir dan batin .
❀ Suami mestilah menahan dirinya dari bergaul secara bebas dengan wanita lain .
❀ Suami yang dapat menyelidiki secara cermat dan teliti segala hal yang disampaikan oleh orang lain yang berkaitan dengan isterinya .
❀ Suami yang bijak dalam memimpin rumah tangganya dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta bertanggungjawab .


 Ciri-ciri wanita solehah


✿ Mencintai Allah dan Rasul-Nya
≈ Ini merupakan satu perintah utama kepada manusia tanpa mengira sama ada lelaki atau perempuan . Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud :
"Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kalian mencintai Allah , maka ikutlah aku , nescaya Allah akan mengasihi kalian , dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha mengasihani" . Ini juga berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tiga perkara sesiapa yang memilikinya akan mendapat kemanisan iman , menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada kedua-duanya" . (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


✿ Mentaati ibu bapa
≈ Mentaati ibu bapa termasuklah ibu bapa mertua merupakan satu ciri-ciri wanita yang solehah . Ini merupakan perintah Allah s.w.t melalui firman-Nya dalam surah Israk ayat 23 yang bermaksud :
"Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa" .


✿ Mentaati suami dalam perkara makruf
≈ Taat pada suami merupakan perintah Allah dan Rasul selagi suami tidak mengarahkan si isteri berbuat maksiat . Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud :
"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya , oleh kerana Allah telah memelihara mereka" .
Manakala sabda Rasulullah s.a.w :
"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia , tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya" . (Riwayat al-Tarmizi hasan sahih)


✿ Menguruskan rumah tangga
≈ Seorang isteri perlu mengetahui selok belok menguruskan rumah tangga dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak , memasak dan sebagainya . Seorang isteri mestilah mencari ilmu tentang bagaimana menguruskan rumah dan ini sejajar dengan tuntutan mencari ilmu seperti hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim" .


✿ Berhias untuk suami
Menghias diri untuk suami merupakan satu tuntutan buat seorang isteri seperti mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita . Baginda menjawab , yang menyukakan kamu bila memandangnya . Apabila disuruh dai patuh , menjaga rahsia mu dengan baik dan menjaga harta kamu" .


✿ Berpakaian menurut ajaran islam
Menjaga aurat merupakan satu tuntutan di dalam Islam . Seorang isteri yang solehah , akan menjaga batasan auratnya dalam berpakaian untuk menjaga maruah dirinya , suami dan keluarga . Berdasarkan perintah Allah s.w.t dalam surah Al A'araf ayat 26 yang bermaksud :
"Hai anak Adam , sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi aurat mu dan pakaian indah sebagai perhiasan . Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik . Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah , mudah-mudahan mereka selalu ingat" .


✿ Menjaga batas pergaulan
Seorang isteri solehah perlu menjaga batas pergaulannya . Malah , seorang isteri solehah tidak boleh sengaja melembut-lembutkan suaranya dan menundukkan pandangannya apabila bercakap dengan lelaki yang bukan muhrimnya untuk mengelakkan fitnah serta menjaga maruah suaminya .


✿ Bersahabat dengan wanita solehah
Seseorang itu dinilai mengikut kawan-kawan yang rapat dengannya . Jika kawan-kawannya solehah , maka dia juga memiliki sifat yang sama . Sabda Rasulullah s.a.w :
"Seseorang itu berada di atas agama kawannya . Oleh itu , perhatikanlah salah seorang kamu siapa kawannya" .

Tiada ulasan :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...